Bodyguardku, Suamiku Bab 7



Dia menatap lama wajah-wajah yang kelihatan ceria di dalam gambar di tangan. Keluhan panjang dilepaskan. Dia rindu kenangan lalu di saat keluarganya masih hidup. Keluarga mereka yang sangat bahagia. Namun tatkala umurnya menjengah 17 tahun, keluarganya meninggalkan dia buat selama-lamanya dalam kejadian tragis. Takkan dia lupakan kejadian pahit itu. Zaf rindu ketegasan papa. Zaf rindu nak dengar mama membebel bila Zaf buat salah. Abang Zaf rindu nak layan keletah adik yang manja. Bisiknya sebak dalam hati.

Tuk! Tuk! Tuk!

Bunyi pintu diketuk kuat dari luar menerbangkan lamunannya. Dia meletakkan frame gambar di meja kecil bersebelahan katil. Dia berjalan menghampiri pintu bilik dan pintu terus dibuka. Kelihatan gadis berambut coklat itu melemparkan senyuman manis padanya.

“Awak lupa eh, minum petang?” Anis mengangkat kening. Lelaki yang hanya berpakaian santai dengan t-shirt jenama polo dan track suit itu dipandang dengan mata tak berkelip. Rambutnya digayakan ala fesyen rambut jejaka korea. Tak sangka pandai bergaya juga ya lelaki dingin ni.

Anis berganjak ke tepi memberi ruang pada lelaki itu untuk keluar. Lelaki itu menutup pintu sambil diperhatikannya. Ketulan otot lelaki itu dipandang dengan kagum. Wajah yang kacak, badan yang sasa dan tinggi lampai. Lelaki itu memang sempurna. Beruntungnya siapa yang jadi isteri dia. Setiap malam mesti tidur lena berlapikkan lengan sasa itu. Anis tersengih nakal apabila membayangkan semua itu.

“Cik Anis.”

Anis pantas tersedar dari lamunannya. Mati senyumannya. Bebola matanya mencari wajah itu.

“Err… jom. Mesti Man dah tunggu kat bawah.” Kelam-kabut dia melangkah meninggalkan lelaki itu.
Zafwan membisu sambil kakinya mengorak langkah. Hanya beberapa langkah dia sudah berjalan di belakang gadis itu.

“Awak ada girlfriend?” Tiba-tiba ayat itu terpacul dibibirnya. Anis menanti jawapan lelaki.

“Tak ada.” Ringkas jawapannya.

Anis mengundur beberapa langkah untuk berjalan di sebelah lelaki itu. Riak terkejut lelaki itu membuat dia mengukir senyuman.

“Saya tak suka ada orang jalan di belakang saya.” Dia memberi alasan agar lelaki itu tidak menganggap bukan-bukan. “Well, betul ke tak ada? Macam tak percaya aje. You are so perfect! Takkan tak ada girlfriend kut.” Anis mengerling pengawal peribadinya.

Zafwan diam.

If I want to be your girlfriend, do you accept it?” Anis menayang senyuman menggoda.

Langkah Zafwan terhenti. Sepasang matanya merenung tajam gadis yang agak berani itu.

Just kidding!” Anis hanya mengukir senyuman dengan kenyitan mata. Dia lantas tergelak kecil dengan reaksi lelaki itu.

Mereka sampai di gazebo. Azman yang menyedari kehadiran mereka terus menegur.

“Lambat turun cik Anis, Zaf?”

Sorry… Awak dah tunggu lama ke Man?” Anis mengambil tempat di kerusi berhadapan Azman.

Azman tersengih. “Adalah dalam sepuluh minit. Hah, kau buat apa dalam bilik Zaf? Aku panggil banyak kali kau senyap aje.” Matanya mengalih pada wajah Zafwan.

Hmm… kemas barang.”

“Jemputlah minum Zaf, Man. Nanti sejuk tak sedap,”pelawa Anis dengan senyuman. Dia menghirup teh yang sudah dihidang pembantu rumahnya.

“Macam mana dengan ugutan tu cik Anis? Cik Anis tak nak siasat siapa punya angkara? Saya ada kenal orang yang pakar dalam hal ni. Cik Anis nak nombor dia?”

Anis tersenyum hambar. “Thanks but no. Saya akan urus hal ni sendiri. Saya nak awak berdua fokus dengan kerja awak berdua. Make sure awak berdua peka dengan keadaan sekeliling.” Dia sudah serahkan masalah itu pada penyiasat peribadinya. Lelaki bekas komando itu tidak pernah menghampakannya. Lambat-laun pasti terbongkar jua identiti lelaki yang mengugutnya itu.

“Esok saya nak ke rumah anak yatim. Awak suka budak Man?” Pantas dia mengalih topik.

“Suka! Kalau nak tahu dua-dua anak buah saya hyperactive. Seronok juga melayan mereka.” Azman membalas dengan ceria. Teringat pada Lily dan Ajim si kembar yang tidak duduk diam sehingga kakaknya sering mengadu kepenatan akibat mengemas berulang kali rumah yang bersepah angkara mereka.

“Biasalah tu. Kalau awak nak tau budak hyperactive ni bijak tau. Jarang kita jumpa budak-budak macam tu.” Anis tersenyum. Wajah salah seorang penghuni rumah anak yatim yang sering dikunjungi menerpa di ingatan. Ain pun kanak-kanak yang hyperactive. Bijaknya tidak setanding dengan umur yang masih muda. Rasa rindu pula nak menatap wajah comel itu.

“Itulah cik Anis. Cik Anis dah ada boyfriend?” Azman tersengih tatkala mengajukan pertanyaan itu. Dia juga teringin nak berjumpa lelaki yang berjaya menawan hati gadis korporat itu. Pasti bukan calang-calang orang.

Anis tergelak kecil. Wajah pengawal peribadinya dipandang satu per satu.

“Awak rasa?”

“Mestilah dah ada. Takkan gadis secantik cik Anis tak ada boyfriend kut.”

“Taklah. Sebenarnya saya masih solo lagi. Tanggungjawab yang saya pikul sekarang ni buat saya jadi sibuk. Tak sempat nak cari boyfriend. Kalau boleh saya nak cari suami aje terus! ,”seloroh Anis dengan tawa kecil.

“Amboi cik Anis! Advance gituh…” Azman juga tumpang ketawa.

“Awak Man, takkan tak ada yang special kut.” Anis mengangkat kening sambil mencapai sepotong kek coklat kegemarannya. Kek dikunyah penuh nikmat sambil menanti jawapan Azman.

“Buat masa sekarang masih belum ada. Tapi masa akan datang insyaallah. Mak saya kat kampung dah bising suruh saya kahwin,”balas Azman sambil tersenyum. Kalau dia balik ke kampung, emaknya asyik mengemukakan soal kahwin sahaja. Memang tidak senang duduk dibuatnya. Bukan setakat itu sahaja, malah mak siap mahu menjodohkan dia dengan anak jirannya lagi. Memang parah bila mak sudah berlaparkan menantu.

Anis tergelak. “Mana mak awak tak bising kalau umur awak dah masuk tiga puluh satu. Mestilah risaulah mak awak kat kampung”. Kemudian dia mengerling pada Zafwan yang dari tadi membisu. Lelaki itu memang sah tak ada girlfriend. Tengok perangai dinginnya yang mengalahkan ais kutub pun sudah tahu. Harap muka aje kacak pun tak jalan kalau perangai seperti ais. Perempuan zaman sekarangkan suka lelaki yang caring, romantik dan pandai ambil hati. Zafwan? Jauh panggang dari api.



Rumah anak yatim KASEH riuh rendah dengan kehadiran Anis. Semua penghuni cilik itu bersalaman dan berpelukan dengan Anis yang sudah dianggap seperti kakak mereka sendiri. Anis kelihatan ceria ketika melayan teletah anak-anak yang sudah kehilangan ibu bapa dalam usia yang muda. Dia tidak lupa mengagihkan buah tangan untuk penghuni rumah KASEH dengan dibantu Zafwan dan Azman.

“Lama tak jenguk rumah KASEH, Anis,”tegur Hajah Kamariah sebaik sahaja bersalaman dengan gadis yang sudah banyak membantu dari segi kewangan untuk rumah KASEH.

“Anis sibuk kebelakangan ni. Macam-macam masalah timbul. Umi sihat?” Anis memandang wajah wanita separuh abad itu. Wanita yang diberi kepercayaan untuk menguruskan rumah anak yatim KASEH yang ditubuhkan arwah mamanya. Wanita yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri.

“Alhamdulillah. Umi sihat. Anak-anak KASEH pun sihat. Tulah, cuma Ain saja yang rindukan Anis. Asyik bertanyakan tentang Anis saja. ” Hajah Kamariah sambil mengukir senyum.

“Anis pun rindukan Ain. Kalau dia tinggal dengan Anis kan bagus. Hari-hari dapat jumpa,”ujar Anis dalam nada sedikit kecewa. Permintaannya untuk menjadikan Ain sebagai adik angkat yang sah telah ditolak kerana dia masih belum berkahwin.

“Anis kahwinlah! Nanti senang Anis jadikan Ain sebagai anak angkat,”usik Hajah Kamariah.

“Ishhh… umi ni! Mana nak cekau suami tu?” Anis menampar lembut bahu wanita itu.

“Anis…” Suara Hajah Kamariah kedengaran serius tiba-tiba. Wajah lembut itu dipandang lama sambil menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembusnya perlahan. Wajahnya seakan ada sesuatu masalah berat yang dipikul.

“Kenapa umi? Ada masalah ke? Duit belanja rumah KASEH tak cukup ke? Nak Anis tambahkan lagi?” Anis sudah cemas dengan reaksi wanita itu.

“Bukan Anis. Semuanya cukup cuma…” Ayat Hajah Kamariah mati. Matanya sudah bergenang dengan air mata. Semakin risau Anis yang memerhati.

“Umi… Kenapa ni? Kenapa umi menangis ni? Anis ada buat salah ke?” Bahu umi digoyang tanpa henti. Tidak pernah umi menitiskan air mata sejak kematian suaminya tiga tahun yang lalu.

“Ain, Anis… Ain…” Hajah Kamariah mengesat air mata. Dia tidak tahu bagaimana untuk terangkan pada gadis itu.

“Kenapa dengan Ain, umi? Dia nakal sangat ke?” Dahi Anis sudah berkerut. Ain buat nakal sangat ke sampai umi menangis?

“Ain… bapa dia nak jaga dia balik.” Akhirnya Hajah Kamariah berterus terang. Ain, kanak-kanak berusia tujuh tahun yang selalu menceriakan rumah KASEH dengan sikapnya yang ramah. Kanak-kanak malang itu ditinggalkan di rumah KASEH semenjak dia dilahirkan lagi.

Terbayang wajah arwah ibu Ain yang sarat mengandung ketika bertumpang teduh di rumah KASEH tatkala suaminya mengabaikannya. Pada dirinya, ibu Ain mengadu. Kasihan Sakinah. Dalam umur masih muda dengan perut yang sarat, dia dijadikan tempat suaminya melampias marah setiap kali kalah dalam berjudi. Itu belum lagi hal suaminya yang merupakan seorang penagih. Kerjanya asyik meminta duit saja daripada Sakinah untuk membeli dadah. Kalau kehendaknya tidak dituruti, apalagi lunyai tubuh Sakinah dikerjakan.

“Kenapa tiba-tiba umi? Ain tahu ke tentang ni?,”tanya Anis yang terperanjat. Semua latar belakang Ain memang berada dalam koceknya. Termasuk perangai binatang ayah Ain. Dia tidak akan membiarkan lelaki tak guna itu mengambil Ain.

“Ain tak tahu lagi. Hmm… entahlah. Umi ada juga tanya tapi dimarahnya umi pula. Perangai barannya memang tak berubah langsung. Dia kata Ain anaknya. Dia ada hak untuk jaga Ain. Umi risaulah Anis. Umi tak nak dia jaga Ain. Umi takut rosak masa depan Ain nanti.”

“Hak apa yang dia ada umi? Hak sebagai ayah? Rasanya hak dia yang itu dah lama hilang sejak dia tinggalkan kak Sakinah. Kak Sakinah menderita depan mata Anis, umi… Anis takkan lupa macam mana menderitanya kak Sakinah ketika melahirkan anaknya. Kak Sakinah sanggup lahirkan anak dia walaupun kandungannya ada komplikasi. Anis takkan biarkan semua ni terjadi. Kalau sampai bawa mahkamah sekalipun Anis tak kisah. Asalkan Ain tak jatuh kat tangan lelaki tak guna tu,”luah Anis panjang lebar dengan geram.

Kak Sakinah merupakan bekas seniornya di sekolah yang sudah dianggap sebagai kakak. Mereka menjadi rapat kerana masing-masing kehilangan ibu bapa. Kak Sakinah pula sanggup berkongsi kasih sayang dengannya. Mereka saling berkongsi masalah. Namun suatu ketika, kak Sakinah memberitahu dia mahu berkahwin sebaik sahaja habis peperiksaan SPM. Hal itu membuatkan dia seboleh-bolehnya membantah keras sehingga menyebabkan mereka bertengkar sehingga seminggu tidak bercakap. 

Akhirnya, dia bersetuju apabila kak Sakinah memujuknya. Kata kak Sakinah, dia tidak pandai dalam pelajaran tidak sepertinya yang selalu mendapat keputusan cemerlang. Berkahwin dengan orang yang dicintai adalah keputusan yang baik.

Ah, kak Sakinah memang pandai memujuknya. Kalaulah saat itu dia membantah perkahwinan itu, pasti kak Sakinah yang memang terkenal dengan sikap lemah lembutnya itu masih hidup dan Ain akan merasa kasih sayang seorang ibu. Kak Sakinah… Anis rindu dengan akak. Air mata sudah bertakung dibibir mata.

“Tapi kes macam ni selalunya berpihak pada ayah Ain, Anis. Macam mana buruk pun dia tu, dia masih ayah kandung Ain. Melainkan Ain dijadikan anak angkat. Kita boleh lawan dia nanti kat mahkamah dengan bukti sikap buruknya selama ni.”

“Ada duit ke penagih macam dia tu sampai nak bawa ke mahkamah?,”sinis nada Anis. Dia mencebik geram. “Lagipun umi, Anis tak nak serahkan Ain kat sesiapa. Anis takut nanti amanah yang diberikan kak Sakinah pada Anis dijaga orang yang tidak sepatutnya.”

Hajah Kamariah senyap seketika sambil otaknya ligat memikirkan jalan penyelesaiaan. Dia memandang lama wajah Anis.

“Kalau macam tu, Anis kahwinlah. Anis ambillah Ain sebagai anak angkat. Selesai masalah,”kata umi dalam nada serius.

Tersentak Anis mendengar ayat umi. Matanya sepontan merenung sepasang mata umi. Seakan tidak percaya umi mengemukakan idea yang hampir membuat dia sesak nafas.

“Umi…”

“Umi tahu Anis trauma dengan kejadian yang menimpa Sakinah. Anis… tak semua wanita yang dah berkahwin akan menderita macam kak Sakinah. Bukan semua lelaki macam Zazali. Masih ada yang bertanggungjawab Anis. Umi tahu sampai sekarang Anis tak terbuka hati sebab perkara nikan?,”pujuk umi lembut. “Lagipun ini saja satu-satunya cara kita nak selamatkan Ain. Ain ada masa depan yang cerah. Kalau kita yang didik dia, insyaallah dia akan jadi insan yang berguna nanti.”

Anis terdiam. Memang benar semua yang dikatakan umi. Dia memang takut apabila soal perkahwinan dibangkitkan walaupun umurnya sudah mencecah dua puluh tujuh tahun.

 Kenangan pahit bersama kak Sakinah masih bermain di ingatan. Betapa remuknya hati melihat keadaan kak Sakinah ketika datang ke rumah KASEH. Wajah yang ayu itu penuh dengan bengkak dek dipukul suami yang tidak berperikemanusiaan. Belum lagi tubuhnya yang penuh dengan parut dan lebam.

Kak Sakinah tidak pernah menyatakan menyesal dengan keputusannya berkahwin awal dengan Zazali. Kak Sakinah memang tabah. Dia sanggup bertahan dengan suaminya demi kandungannya sehinggalah kak Sakinah dihalau Zazali sehelai sepinggang kerana mempunyai wanita lain. Takdir mempertemukan kak Sakinah dengannya semula di rumah KASEH setelah berpisah hampir dua tahun sebaik sahaja kak Sakinah berkahwin.

“Anis…”

Panggilan lembut yang kedengaran di cuping telinga membuat lamunannya terbang serta-merta. Wajah penuh keibuaan itu dipandang lama.

“Kalau perkahwinan Anis membolehkan Ain di bawah jagaan kita, Anis sanggup umi. Anis akan buat apa sahaja asalkan Ain tak jatuh kat tangan lelaki tak guna tu. Demi Ain, arwah kak Sakinah, Anis sanggup umi…,”ucapnya dengan deraian air mata yang menghibakan hati Hajah Kamariah. Terus dia memeluk sambil menenangkan gadis itu.

“Mama…!!!”

Jeritan itu membuatkan pelukan mereka terlerai. Mereka terus mencari pemilik suara itu. Kelihatan kanak-kanak perempuan yang bertocang dua dan masih berbaju sekolah itu tersenyum girang memandang mereka.

Anis mengesat air mata. Senyuman manis diukirkan untuk kanak-kanak comel itu. Terus kanak-kanak itu meluru ke arahnya. Tidak sampai beberapa saat, pinggangnya dipeluk erat.

“Ain rindu kat mama. Mama pergi mana?” Riuh mulut kecil itu bertanya sebaik sahaja pelukan terlerai. Kemudian, dia menyalam tangan umi sambil mencium pipi tua itu.

“Mama busy sayang… Mama pun rindu Ain.” Pipi mulus itu dicium beberapa kali sebaik sahaja Ain dipangku di pahanya. Ain walaupun masih darjah satu, tubuhnya kelihatan kecil berbanding kanak-kanak yang sebaya dengannya. Memang ikut genetik kak Sakinah yang bertubuh kecil.

“Mama baru sampai ke?” Ain memandang wajah cantik mamanya. Mama memang cantik. Ain sayang mama.

“Ya sayang… Anis dah solat belum? Balik-balik aje terus peluk mama. Patutlah bau masam.” Anis sudah mengepit hidungnya seakan tercium bau busuk. Dia tersengih melihat muncung Ain yang sudah ke depan.

“Ala mama ni… mana ada busuk! Tak baik tipu tau. Ustazah kata kalau tipu berdosa…,”ujar Ain bersungguh-sungguh.

Anis tergelak besar. Hidung mancung Ain dicuit sedikit. “Dah… dah. Pergi mandi, solat! Lepas tu makan. Mama ada beli K.F.C. Hanya orang yang wangi saja yang dapat makan,”sakat Anis sambil tersengih. Ain memang gemar makan ayam.

Makin cemberut muka Ain. Terus dia meloncat dari pangku mamanya.

“Yalah-yalah! Ain nak mandilah ni. Mama jagakan ayam Ain ya? Terima kasih mama. Bye mama!” Ain terus berlari masuk ke dalam banglo tempat kawan-kawan senasibnya berteduh sambil melambai-lambai mesra pada mamanya yang masih duduk di pondok bersama umi.

Anis menghamburkan ketawa dengan telatah Ain. Takut sangat ayam dia habis. Ain… Ain… Dia mengukir senyum.

“Anis dah ada ke calon suami?,”tanya Hajah Kamariah yang dari tadi memerhati gelagat mereka.
Senyuman Anis mati. Dia menoleh ke arah umi.

Hmm… umi jangan risau. Anis akan uruskan perkara tu.” Anis tersenyum hambar. Dia tidak memikirkan perkara itu tadi. Aduh, siapa pula yang aku nak rembat jadi suami aku ni? Huhu…

9 comments:

Unknown said...

hye...br terjumpa blog ni. best karya awk...bl nk smbung cite ni, x sbar nk tau ending..��

Yoshikuni akira said...

Bab 8 x de ke

Yoshikuni akira said...

Bab 8 x de ke

Unknown said...

Bab 8 mana? tak ada lagi ke?

Unknown said...

Bab 8 mana? tak ada lagi ke? dah lama saya tunggu..

Anonymous said...

x ade sambungan ke

Unknown said...

Bab 8 dan bab seterusnya mana

Unknown said...

Bab yang seterusnya takde ke? Lama saya tunggu

akutaksihat said...

bab 8 mana?