Sweetkan Kisah Kami Berdua Bab 1

“Woi, berangan kerja kau!”
Sergahan kuat bersama tepukan di bahu mengejutkan aku. Aku tersentak. Terus mencari si pemilik suara yang lantang itu. Pantas mulutku mencebik tidak puas hati apabila Ayu sudah tersengih memandangku.
“Ada apa kau cari aku sampai sini? ” Aku meneguk milo panas yang aku buat sendiri. Baru nak tenangkan fikiran, sudah ada pengacau. Ingatkan lari ke pantri tiada sesiapa yang kacau.
“Encik Kimi cari kau. Macam ada hal penting aje,”beritahu Ayu sambil tersenyum penuh makna.
“ Betul ke Encik Kimi cari aku?” Aku memandang kawan baikku itu meminta kepastian. Takut dia menipu. Dia ni bukannya boleh percaya sangat, suka kenakan aku. Lagi-lagi mengenai Encik Kimi.
“Yalah, takkan aku nak tipu pulak!”
“Kalau macam tu aku gerak dululah, Nanti kesian Encik Kimi tunggu aku lama-lama.” Aku cepat-cepat meminta diri.
“Dengar nama Encik Kimi aje, dah menyengih panjang. Alahai Yuyu..Yuyu.. Tak tahu aku nak nasihatkan kau macam mana lagi.” Terdengar sayup-sayup suara Ayu di belakang. Aku tersengih, sudah tidak sabar mahu berjumpa dengan Encik Kimi, bos kesayanganku.
Pintu yang terpampang Field Manager- Daniel Hakimi Bin Azhar, ku tolak perlahan-lahan. Sepasang mataku meliar mencari kelibat Encik Kimi.
“Ada apa awak masuk bilik saya?”
Suara serak-serak basah yang dekat dengan cuping telinga membuat aku terpanar. Wajah kacak Encik Hakimi hanya beberapa inci daripada aku membuat lidah aku kelu. Jantung sudah mendendangkan pelbagai lagu cinta.
“Err..Encik Kimi?” Aku sudah terkebil-kebil memandang wajah Encik Hakimi yang masih tidak berganjak. Terus aku mengelipkan mata beberapa kali.
Encik Hakimi ketawa sejurus mengambil tempat di kerusi empuknya. Dia masih memandangku dengan senyuman manis. Alahai, menggoda betullah senyuman Encik Kimi ni…
“Ada apa awak masuk bilik saya ni? Ada hal penting ke?”
“Kenapa Encik Kimi ketawakan Yuyu tadi?” Soalan berbalas soalan. Memang subjek Bahasa Melayu boleh dapat C lah Yuyu ni. Orang tanya dia, dia tanya orang tu balik.
“Muka awak lawak sangat, siap kelip-kelip mata.”
“Hah?!” Aku sudah terlopong. Tidak lama selepas itu aku merungut perlahan.” Mana ada Yuyu buat muka lawak, Yuyu buat muka comellah Encik Kimi!” Ada pula aku nak buat muka lawak. Kalau boleh aku nak buat muka comel adalah, biar Encik Kimi tergoda. Aku gelak dalam hati.
“Yalah-yalah. Hah, soalan saya awak tak jawab lagi. Ada apa awak masuk bilik saya ni?”
“Bukan Encik Kimi panggil Yuyu ke? “ Encik Kimi ni dah hilang ingatan ke apa? Dia panggil kita lepas tu di tanya kita buat apa pulak. Sabar aje Yuyu. Nasib Yuyu sayang Encik Kimi.
“Bila masa pula saya panggil ni? Awak salah dengar kut.” Encik Kimi sudah berkerut. Dia sudah menyandar sambil memerhati aku yang masih tercegat di hadapannya.
“Ayu yang … “ Terus mati ayatku. Baru tersedar yang aku sudah di tipu. Ayu ni memang nak kena, suka betul malukan aku di hadapan Encik Kimi.Sudahnya aku tersengih.
Encik Kimi sudah mengangkat sebelah keningnya.
“Encik Kimi….,”panggilku meleret plus manja. Aku buat muka comel sambil mendekati lelaki kacak idaman hati sejak aku kerja di sini lagi.
“Hmm … ada apa Yuyu?” Encik Hakimi memandang tepat wajahku.
“Nanti kita lunch  sama-sama eh, macam biasa…” Aku menarik senyuman lebar. Memang aktiviti harian aku untuk makan tengah hari bersama-sama Encik Kimi yang single mingle ini. Kebiasaannya lelaki itu bermurah hati untuk belanjaku. Maklumlah akukan pekerja kesayangannya. He he he …
“Awak nak ajak saya date ke ?”
Pertanyaan itu membuat aku hampir sahaja tercekik. Mata aku membulat sambil laju mulutku menafikan.
“Mana ada Encik Kimi. Yuyu ajak makan bukan date! “  Aku segera menjelaskan, tidak mahu lelaki itu salah faham. Karang dia ingat aku nak goda dia pula, macam perigi cari timba. Memanglah aku ada hati kat dia tapi aku bukan perempuan yang terhegeh-hegeh pada yang tak sudi.  Entah-entah Encik Kimi cuma anggap aku tak lebih sebagai pekerja bawahan, aku aje yang syok sendiri.
“Bukan sama ke makna tu..” Encik Kimi sudah gelak kecil.
“Mana ada sama. Yuyu ajak makan tengah hari bukannya date dengan Encik Kimi, kan tak sama bunyi dan ejaan tuh!”
Makin kuat Encik Kimi ketawa. Aku sudah menarik muncung sedepa.
“Dahlah, baik Yuyu keluar dulu. Banyak kerja nak di buat daripada dengar Encik Kimi gelak. “ Aku terus menuju ke pintu. Lama-lama di situ boleh gugur jantung dengar Encik Kimi ketawa. Merdu sungguh. Alahai, orang mabuk cinta, bau kentut pun kata wangi. Yuyu..Yuyu…
Baru sahaja mahu keluar, suara Encik Kimi kedengaran. ”Nanti tunggu saya kat depan lif. Kita lunch sama-sama” Aku berpaling menghadiahkan senyuman manis pada lelaki itu.
“Okey, saya tunggu Encik Kimi.”  Aku terus menutup pintunya perlahan sambil menyanyi riang menuju ke meja aku yang terletak depan bilik Encik Kimi. Dari luar aku sudah dapat melihat Encik Kimi yang khusyuk membelek fail. Handsome betul Encik Kimi ni, putih melepak. Kalau jadi suami aku… memang aku peluk tak lepas!. Aku tersengih. Tiba-tiba sepasang mata cantik itu mendarat pada aku. Terus aku kelam-kabut berpura-pura menaip sesuatu di komputer.
“Apa yang khusyuk sangat menaip tu?”
Suara itu membuat aku terkaku. Jari yang ligat menekan keyboard terhenti. Aku mendongak, kelihatan Encik Kimi berdiri tidak jauh dariku. Bila masa pula Encik Kimi berdiri depan aku ni? Bukan tadi dalam pejabat ke?
“Hah?”
“Awak tengah taip apa tu? Nampak fokus semacam aje sampai tak pandang kiri, kanan.”
Aku tersenyum sumbing. Encik Kimi perhatikan aku? Rasa nak menjerit kuat-kuat aje. Tak sangka ada orang perhatikan aku lebih-lebih kagi Encik Kimi.
“Taip laporan. Ada yang tak siap lagi.”
“Oh…” Encik Kimi memandang aku lama sebelum dia gelak.”Betul ke awak tengah taip laporan? Gelap aje komputer tu saya tengok.” Dia melangkah ke pejabatnya semula dengan di iringi sisa ketawa.

Spontan mataku mendarat skrin komputer. Sekarang aku rasa macam nak jerit satu dunia apabila melihat skrin gelap. Tak pasal-pasal malu depan Encik Kimi. Aduh, Yuyu ni memang tak pandai menipu betul!

No comments: